pengikut pemudattbc

Rabu, 23 Disember 2009

Nasihat Buat Bakal Pelatih PLKN

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

“Ha ha. Padan muka kau kena masuk PLKN!”

Saya menyertai PLKN pada tahun kedua ia diadakan. Ketika itu terlalu banyak persepsi negatif yang kami dengar tentang PLKN. Baik tentang isu couple, isu rogol, isu dera dan bermacam isu lain lagi. Maka sesiapa dalam sekolah kami yang diarahkan menyertai PLKN, pasti akan disindir.

“Habislah gelap kulit kau nanti.”

PLKN mengajarkan saya begitu banyak perkara. Ada yang baik dan ada yang buruk. Ia mengajarkan saya bagaimana manusia boleh berubah apabila diberi kebebasan. Dan ia juga mengajar bagaimana manusia berubah apabila dikongkong dengan jadual yang ketat.

Yang dahulu di sekolah pendiam, boleh jadi aktif.

Yang dahulu di sekolah nakal, boleh jadi alim.

Yang dahulu di sekolah Ketua Pelajar, boleh jadi rosak.

Bayangkan seorang pelajar sekolah agama yang sekolahnya boleh disebut sebagai ‘Forbidden City’ disebabkan terlalu banyak pantang larangnya, tiba-tiba masuk ke PLKN dengan bermacam ragam dan kerenah pelatihnya.

Bayangkan juga seorang pelajar sekolah biasa yang semasa di sekolahnya dahulu mencari kepastian dalam agama, tiba-tiba masuk ke PLKN dan bertemu dengan rakan yang boleh mendorongnya.

Begitulah. Bukan semua jadi jahat. Tetapi bukan semua juga jadi lebih baik.

Cuma masing-masing mendapat pengalaman baru dan mereka bertindak mengikut cara yang mereka rasakan betul.

Bertindaklah!

Saya masih ingat setiap malam di kem kami, aktivitinya adalah menonton drama. Drama yang akan kami tonton telah pun disediakan oleh pihak Kementerian. Dan sudah tentu jalan ceritanya tidak diminati oleh kebanyakan pelatih, termasuklah jurulatih yang bertugas.

Kadang-kadang ada jurulatih yang baik hati akan memasang filem yang ada mesej-mesej yang bagus. Tetapi kadang-kadang ada juga jurulatih yang akan buat aktiviti karaoke.

Cuma pada saat-saat seperti itu biasanya tiada tindakan disiplin yang diambil sekiranya ada yang ponteng. Jadi, saya dan beberapa orang rakan akan beredar keluar. Ada kalanya kami akan ditahan oleh jurulatih.

Jadi kami akan berbual-bual dengan jurulatih tersebut untuk mengambil hati jurulatih. Disebabkan itu juga, kadang-kadang ada jurulatih yang membawa saya dan rakan keluar makan roti canai pada hari minggu.

Ramai jurulatih yang mahukan pelatih-pelatih PLKN ini menjadi manusia yang bijak. Bijak memilih perbuatan dan bijak dalam budi bicara. Sekiranya kita ada alasan yang kukuh, mereka tidak akan marah. Malah mungkin akan terlebih sayang kepada kita.

Sekiranya ada arahan atau perbuatan yang kita rasa tidak sesuai dengan apa yang kita belajar semasa di sekolah dahulu, bertindaklah dengan cara tidak menyakitkan hati sesiapa.

Sekurang-kurangnya…

“Apa pasal kau nak sibuk-sibuk aku sudah solat atau belum?

Itu yang budak sekolah agama itu pun tak solat lagi.”

Apa yang kita buat biasanya akan terpalit juga kepada golongan yang sama seperti kita.

Memang ketiadaan masa akan menjadi alasan utama. Andai kata kita tiada masa untuk solat di surau, solat sahaja di dalam bilik. Malah saya rasa lebih bagus solat di bilik sambil mengajak beberapa rakan sebilik lain turut solat sama.

“Oh, begitu cara kamu sembahyang,” ujar seorang rakan cina, Ng.

Mudahkan jangan disusahkan.

Cinta Kontrak

“Aku bercinta dengan budak ini dalam kem ini sahaja. Dia pun dah tahu aku ada awek di luar.”

Fenomena mencari pasangan memang sangat meriah di dalam kem PLKN. Rasa cinta kepada seseorang itu fitrah, jangan dilawan. Makin dilawan makin kuat rasa keinginannya. Tetapi perlulah dikawal supaya tidak berlaku apa-apa yang melanggar syariat.

Ada seorang rakan karib di PLKN. Kata beberapa rakannya semasa di sekolah dahulu dia memegang jawatan Exco Tarbiah Badan Agama. Di dalam kem PLKN, dia menjaga segala tindak-tanduknya. Sehinggakan dialah antara pemula usrah kami di kem tersebut.

Sekiranya ada di antara kami yang tiba-tiba membuka cerita tentang perempuan, pasti dia akan menjauhkan dirinya.

Cuma pada minggu-minggu terakhir kami di kem tersebut, kami nampak dia sudah mula duduk berdua-duaan dengan pelatih daripada kompeni yang sama.

Makin kuat kita melawan, takut-takut ia terpendam menjadi besar dan nanti kita melepaskan semua keinginan tersebut dalam satu masa. Sehingga membenarkan apa yang tidak patut.

Kita Punya Pilihan

Semasa Bilal bin Rabah diseksa dengan ditindihkan batu di atas badannya, tentu sahaja dia mempunyai pilihan sama ada untuk meninggalkan agama Islam atau tidak. Bayangkan kalau kita sendiri ditindih dengan batu besar pada cuaca yang panas, mungkin sahaja boleh mati.

Dalam filem 2012, Adrian berkata kepada Jackson Curtis(seorang penulis buku), “Adakah kamu yakin bahawa saat manusia tahu waktu kematian mereka, mereka akan bertindak mementingkan diri sendiri?”

Tetapi Bilal bin Rabah tetap dengan pilihannya dan tetap menyebut, “Ahad… Ahad… Ahad…”

Sesungguhnya kita mempunyai kebebasan untuk memilih reaksi terhadap segala tindakan yang terjadi atas diri kita. Kita yang bertanggungjawab sepenuhnya atas jenis tindakan yang kita pilih.

0 comments:

Entry Paling Best

--------------