pengikut pemudattbc

Selasa, 5 Januari 2010

“Bukan sengaja buka tudung...”

Niat murni pelakon Anne Ngasri untuk bertudung ternyata menggembirakan peminatnya. Namun tindakannya membuka tudung dalam sesetengah drama sejak akhir-akhir ini pula mengundang reaksi yang kurang senang oleh segelintir masyarakat.

Bagaimanapun, Anne yang ditemui ketika penggambaran drama Mayang Mengurai di Carlton Holiday, Shah Alam, baru-baru ini mempunyai jawapannya sendiri.

Anne berkata, dia bukannya sengaja atau sewenang-wenang mahu membuka tudung, namun terpaksa melakukannya demi mencari rezeki. Malah Anne akui, wanita yang bertudung sepertinya sukar mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air, terutamanya yang melibatkan tawaran lakonan.

“Sejak bertudung saya sukar mendapat job dan saya rasa anda semua pun faham dengan situasi dalam industri kita ini. Kalau bertudung memang payah nak dapat job sebab itulah saya terpaksa buka tudung. Namun ia masih ada batasnya kerana saya tak akan sesekali berpakaian seksi atau ‘buka’ sana sini.

“Saya masih muda dan masih biasakan diri untuk bertudung. Orang boleh terus bercakap, tetapi selagi saya tahu apa yang saya buat itu betul ia tidak menjadi kesalahan pada saya. Lagipun soal bertudung ni, hal antara saya dan Tuhan.

“Walaupun saya buka tudung dalam drama, tetapi di luar saya tetap Anne Ngasri yang akan menjaga penampilan saya sebagai wanita yang bertudung. Saya berharap agar perkara ini tidak terus menjadi isu,” kata Anne yang terpaksa juga membuka tudung dalam drama bersiri Mayang Mengurai demi memenuhi karakternya sebagai Mayang Indra.


Jadi puteri dalam Mayang Mengurai

Bercerita lebih lanjut tentang lakonan terbarunya yang akan disiarkan di slot Legenda, TV3, itu, Anne memberitahu, dia sangat teruja membintangi Mayang Mengurai kerana ini merupakan lakonan pertamanya yang melibatkan kisah dongeng.

“Drama ini diadaptasikan drama cerita dogeng Inggeris yang popular iaitu Rapunzel. Kalau dulu, saya selalu mengikuti cerita-cerita dogeng seperti ini, kali ini saya berpeluang untuk berlakon dalam drama sepertinya dan ini kali pertama saya jadi puteri. Walaupun saya bukanlah watak utama, tetapi sebagai Mayang Indera, saya juga mempunyai kuasa sakti pada matanya. Dan ia sangat mencabar kerana saya terpaksa bermain dengan mata. Malah inilah kali pertama saya memakai bulu mata di atas dan di bawah untuk menyerlahkan mata,” kata Anne berseloroh.

Untuk menghayati wataknya, Anne berkata, dia banyak menonton dan membaca kisah-kisah dongeng Rapunzel serta mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar dari pengarah. Selain Anne, drama yang akan disiarkan di slot Legenda bermula 12 Januari ini turut dibintangi Tania Hudson (Mayang Mengurai), Zarina AF (Mayang Merdu), Ammar (Khalif), Kamal Adli (Shahrul) dan Sabrina Ali (Kornilam).

Menurutnya, kehidupannya kini semakin bahagia di samping suami dan dua cahaya mata lelakinya, Abdul Warits, 4, dan Abdul Wardi, 2, meskipun masih memenuhi tanggungjawabnya sebagai pelakon.


apa nak jadi sekarang wallahualam

0 comments:

Entry Paling Best

--------------