Menyemai cinta kepada Rasulullah

in , by Muhammad Naim Abdullah, Mac 29, 2010
WALAUPUN bulan Rabiulawal sudah berlalu, sambutan Maulidur Rasul masih dianjurkan di merata tempat dengan penuh kesyukuran, keinsafan dan kecintaan terhadap junjungan besar baginda Rasulullah SAW, penutup segala nabi dan imam para anbiya a.s.

Di Johor sambutannya terus meriah dengan penuh kesyukuran yang antaranya dianjurkan oleh Surau Nurul Falah Taman Setia Indah, Johor Bahru baru-baru ini.

Acara kemuncaknya adalah ceramah perdana oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot.

"Kalau semua orang Islam benar-benar cintakan Rasulullah SAW maka nescaya penuh melimpahlah surau ini dengan jemaah," kata Nooh.

Beliau sebelum itu membaca firman Allah yang bermaksud: Katakan (Wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah SWT maka ikutikan aku. Nescaya Allah SWT mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah SWT Maha Pengampun Maha Mengasihi. (ali-'Imran: 31)

Tegas Nooh, tanda orang yang benar-benar kasih dan cinta kepada Rasulullah adalah mengikuti baginda iaitu mengamalkan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan Allah berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Kasih sayang dan cinta terhadap Rasulullah SAW telah ditunjukkan oleh para sahabat baginda dalam pelbagai peristiwa dan jika kita benar-benar mengasihi baginda, maka dosa-dosa kita diampunkan Allah.

Justeru, Nooh mengajak jemaah mengambil pengajaran terhadap kisah-kisah para sahabat termasuk kisah seorang sahabat mencari peluang dengan memberi helah untuk mencium satu bahagian badan Nabi Muhammad SAW.

Sememangnya para sahabat adalah mereka yang sepatutnya kita contohi dalam menunjukkan tauladan mencintai Rasulullah.

Ketika memberi tazkirah yang cukup bermakna dan bertenaga, Nooh menegur masyarakat Islam pada waktu ini yang perlakuannya jauh daripada tanda-tanda mencintai Allah dan rasul-Nya.

"Islam suruh umatnya bersatu padu tapi hari ini kita tengok sesama orang Islam pun bergaduh atas sebab politik atau sebagainya.

"Suami isteri bergaduh, pemuda di mana? Adakah mereka di masjid atau di tempat lain yang mendapat rahmat Allah?

"Perempuan Islam pakai baju terbuka sana sini tak menutup aurat," tegasnya menegur.

Nooh menyeru umat Islam hari ini perlu kembali menghayati kefahaman Islam dengan mengamalkan ajarannya dengan bersungguh-sungguh dan dengan cara itu ummah akan berjaya di dunia dan akhirat.

Sebagaimana cinta tadi, ia melibatkan hati dan perasaan, begitu juga dalam mengamalkan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah ia melibatkan perasaan yang bersungguh-sungguh.

Itulah tanda orang bercinta iaitu perilakunya tidak bertentangan dengan perbuatan orang yang dicintai. Tidak bertentangan dengan apa yang dilakukan Rasulullah SAW.

Berbicara mengenai cinta terhadap Rasulullah menggunakan kerangka yang dinyatakan oleh Nooh iaitu mencontohi kecintaan yang ditunjukkan oleh para sahabat maka teringat pula satu peristiwa apabila seorang telah bertanya kepada Saidina Ali Abi Talib r.a:

"Setakat mana kasih sayang tuan kepada Rasulullah?"

Saidina Ali r.a dengan tegas menjawab: "Kami mengasihi Baginda SAW lebih daripada harta-harta kami, anak-anak kami, ibu-ibu kami dan lebih daripada air sejuk ketika tersangat dahaga".

Benarlah kata-kata beliau sebagaimana yang dinyatakan dalam surah at-Taubah: 24 yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad SAW), jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan rasul-Nya maka tunggulah sehingga Allah SWT mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya). Kerana Allah SWT tidak akan memberi petunjuk kepada orang fasiq (derhaka).

Dalam ayat ini terdapat amaran terhadap mereka yang mencintai segala sesuatu yang lain lebih daripada Allah SWT dan rasul-Nya.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayat kepada seluruh umat untuk mencintai Rasulullah SAW dengan sebenar-benarnya.

Sementara itu, Pengerusi penganjur, Mohd. Nazri Wahab berkata, majlis tersebut dihadiri kira-kira 1,000 penduduk Islam sejak pukul 8 pagi hingga 11 malam.

Menurutnya, majlis tahunan yang dianjurkan buat kali keenam itu mencapai matlamatnya apabila mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah kehadiran yang melebihi tahun lalu.

"Sejak awal pagi telah diadakan gotong royong memasak sebagai persiapan untuk aturcara pada sebelah malam yang bermula lepas solat Maghrib berjemaah.

"Ia diikuti dengan majlis bacaan al-Quran, selawat dan marhaban, berselawat, jamuan, solat Isyak dan diakhiri dengan ceramah," katanya.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Maulizan Bujang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram; Ketua Kampung Kangkar Tebrau Baru, Nordin Omar dan Penggerak Masjid Kawasan Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Abbas Abdul Aziz.

Mohd. Nazri berkata, kejayaan tersebut disebabkan persiapan rapi sejak tiga minggu lepas dan kerja kuat ahli-ahli jawatankuasa surau dan sokongan penduduk Islam di kawasan itu.

Bagi bilal surau itu, Ibrahim Lebon, selain pengisian majlis yang amat bermanfaat, ia berjaya mencapai matlamatnya mengeratkan lagi hubungan silaturahim di kalangan penduduk Islam di Taman Setia Indah.

"Ini secara tidak langsung menguatkan lagi ukhuwah dan persaudaraan dan membantu masyarakat hidup dalam lebih harmoni dan bersatu padu," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
SHARE 0 comments

Add your comment

sila tinggal kata-kata anda:

© Ke Arah mencari redhaNYA · THEME BY WATDESIGNEXPRESS