Sayangilah Bahumu

in , by Muhammad Naim Abdullah, Januari 08, 2011
Ibuku sambil menyisirkan rambutku di hadapan cermin, pernah bertanya;

'Anakku,dalam setiap anggota tubuhmu, bahagian manakah yang paling penting?"

Aku memandang seketika ke setiap anggota tubuhku yang ternampak di muka cermin, dan menjawab dengan yakin sekali.

"Mata, ibu," sambil mata bundarku memancarkan cahaya yang paling cemerlang.

"Kenapa, sayang?" Ibuku masih tersenyum menatap wajah kecilku yang polos di dalam cermin.

"Kerana dengan mata, kita dapat melihat semua perkara, dan kita dapat mengenal warna-warna kehidupan, serta kita dapat memasukkan seluruh dunia yang besar ini ke dalam pandangan kita," aku menjawab sambil tersenyum puas.Ibu mengucup dahiku, seraya berkata;

"Kamu pintar sekali anakku, tetapi sebenarnya masih ada lagi yang lebih penting daripada itu sayang," aku mendongak memandang ibu. Bingung. Apakah yang lebih penting selain daripada sepasang mata? Mata adalah jendela hati, aku pernah mendengar kata-kata itu daripada guru sekolahku. Malah ada kawanku yang sanggup mahu mendermakan matanya kepada adiknya yang buta kerana dia kasihan kepada si adik yang tidak pernah dapat mengenal betapa cantiknya warna pelangi. Guru-guru kami juga sentiasa menasihati kami supaya tidak membaca dan menulis dalam cahaya yang tidak terang supaya mata tidak menjadi rosak.

Aku memandang ibu dengan penuh tanda tanya. Akal kecilku cuba mencari jawapan lain bersama alasan-alasannya. Aku menyebutkan kepada ibu beberapa lagi anggota lain tetapi ibu dengan senyum halusnya masih menafikan sehinggalah aku berputus asa.

"Satu masa nanti, kamu pasti akan mendapatkan jawapannya, wahai anakku yang manis," dan ibu sudah selesai menghias rambut panjangku dengan sepasang riben biru yang cantik.

Beberapa tahun berlalu, nenekku meninggal dunia, dan kami sekeluarga berada dalam kesedihan yang teramat. Ibuku sentiasa merah matanya, dan pada petang itu setelah nenek selamat dikebumikan, ibu mendekati aku dan membelai rambutku yang masih panjang seperti dulu.

"Anakku, masihkah kau ingat kepada soalan ibu beberapa tahun lampau? Ketika ibu sedang menyikatkan rambutmu, sayang?" aku berfikir sejenak dan peristiwa didepan cermin itu kembali menjelma di alam fikiranku. Aku mengangguk.

"Sudahkah kau menemui jawapannya, sayang?" aku menggeleng kecil. Memang benar aku sudah terlupa untuk mencari jawapannya.

"Hari ini ibu akan memberitahu kepadamu, anakku. Persoalan dan jawapan ini sangat penting kerana ia akan mengajarkan kepadamu tentang hidup," ibu berhenti sejenak untuk merenung anak mataku, kemudian menyambung lagi, "Bahagian yang paling penting dalam anggota badan kita adalah BAHU, sayang." ibu memandang wajahku dengan pandangan kasih sayangnya yang masih segar seperti 8 tahun yang lalu.

"Adakah kerana bahu tempat untuk memegang kepala kita, ibu?" ibu menggeleng. Wajahnya nyata sedih tetapi senyumnya tetap manis.

"Bahumu adalah tempat untuk teman-temanmu, dan orang yang kamu sayangi meletakkan kepalanya untuk menangis. Kadang-kadang dalam hidup, semua orang perlu bahu untuk menangis. Ibu cuma harap, kamu punya kasih sayang yang cukup untuk dicurahkan kepada orang yang berada disekelilingmu. Dan kamu juga punya bahu yang kuat untuk mereka bersandar setiap kali mereka memerlukanmu," mata ibu masih merah namun ada kepuasan di dalam sinar matanya.Tangannya mengelus lembut bahuku dan aku bersandar diam di bahunya sambil berfikir.

Akhirnya aku mengerti dan memahami, bahawa bahagian tubuh yang paling penting adalah bahagian yang mengajar manusia supaya tidak mementingkan diri sendiri, tetapi selalu simpati dan empati terhadap penderitaan orang lain. Manusia boleh melupakan apa yang kita katakan, manusia juga boleh melupakan apa yang kita lakukan, tetapi manusia tidak akan lupa bagaimana kita membuatkan mereka jadi bererti.

"المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضاً"

(Mukmin terhadap mukmin yang lain ibarat batu-bata binaan yang saling memperkukuh satu sama lain)


Terima Kasih kak asma, kerana izinkan Naim copy artikel ini semoga manfaat untuk semua . *Jazakallah.
SHARE 0 comments

Add your comment

sila tinggal kata-kata anda:

© Ke Arah mencari redhaNYA · THEME BY WATDESIGNEXPRESS