YAN: Keluarga Allahyarham Azizan Abdul Razak mendesak supaya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat permohonan maaf secara terbuka atas ucapan beliau yang mengaitkan bekas menteri besar itu sewaktu mempertahankan tindakan kerajaan menghapuskan subsidi gula.

Dalam satu kenyataan media yang dibaca ketika sidang media harian PAS di Markas PAS Sungai Limau, Mohd Rafi'ie Aizan, 32, menegaskan pihaknya terguris dengan kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin.

"Saya mewakili kedua-dua bonda saya, adik-beradik saya serta sanak saudara Ustaz Azizan begitu terguris hati dengan kenyataan yang telah dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen pada 26 Oktober 2013, genap sebulan kembalinya ayahanda ke rahmatullah.

"Kami memohon YAB TPM yang kami hormati agar memohon maaf secara terbuka kepada kedua-dua bonda saya yang tercinta! Adik-beradik saya dan sanak saudara. Sama ada yang dekat mahu pun yang jauh, yang telah tersinggung dengan ucapan itu," katanya.

Dalam kenyataan media itu juga, Rafi'ie menegaskan keluarganya masih bersedih dengan kehilangan Azizan dan tidak dapat menerima apa yang diucapkan oleh Muhyiddin.

Katanya, pemergian Azizan merupakan satu kehilangan terlalu besar buat keluarganya untuk dijadikan sebagai sandaran dan alasan kenaikan harga gula.

"Sesungguhnya ucapan YAB TPM telah menyentuh sanubari kami sekeluarga yang masih bersedih dan masih pilu dengan kehilangan insan yang paling kami sayangi di dunia ini.

"Air mata kami sekeluarga belum kering mengenangkan allahyarham ayahanda dan kerinduan kami kepada ayahanda masih menyelubungi setiap detik yang kami lalui.

"Kehilangan Allahyarham Ayahanda terlalu besar buat kami sekeluarga untuk dijadikan sebagai sandaran dan alasan bagi kenaikan harga gula oleh pihak kerajaan. Atas alasan apa sekalipun, dalam suasana pilu yang sedang kami sekeluarga hadapi, kami sekeluarga tidak dapat menerima ucapan dan sandaran beliau itu," katanya lagi.

Muhyiddin dalam ucapannya pada Sabtu mempertahankan pengurangan subsidi gula sebanyak 34 sen yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014.

Menurutnya, ia dilakukan untuk manfaat orang ramai dan hadirin yang hadir perlu mengambil iktibar daripada penyakit kencing manis yang dideritai Azizan.

Azizan terpaksa menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis. Bekas menteri besar Kedah itu meninggal dunia pada 26 September lalu.

sumber:-http://www.astroawani.com/news/show/keluarga-allahyarham-azizan-desak-muhyiddin-mohon-maaf-secara-terbuka-24677
SHARE 0 comments

Add your comment

sila tinggal kata-kata anda:

© Ke Arah mencari redhaNYA · THEME BY WATDESIGNEXPRESS