Kepintaran Anak Kecil

in , by Muhammad Naim Abdullah, Oktober 27, 2011
**Entry ini naim copy dan paste daripada blog kak ipar Naim. Jom baca 

---------------------------------------
Pada zaman dahulu, ada seorang budak yang sangat cerdik atau genius kata orang zaman sekarang. Usianya lebih kurang 7- 8 tahun. Dia sangat cepat mengingat sebarang ilmu yang diajarkan kepadanya.

Ketika itu, ahli sihir @ pendeta diraja telah tua dan ingin mencari pengganti untuk diajarkan ilmu-ilmunya. Maka, raja mengerahkan para pengawal istana untuk mencari seorang budak yang memenuhi kriteria yang diinginkan oleh pendeta tersebut. Maka, budak cerdik tadi telah dipilih..

Setiap hari, budak tersebut akan berulang dari rumahnya yang jauh ke istana untuk belajar ilmu daripada pendeta diraja itu sehinggalah pada suatu hari ketika dia melintasi sebuah kampung, dia terdengar syarahan agama daripada seorang alim ulama. Budak tersebut tertarik dengan ucapan alim ulama tersebut yang jauh berbeza dari apa yang dipelajarinya daripada pendeta selama ini lalu memutuskan untuk berguru dengan alim ulama tersebut. Dia akan berjumpa alim ulama tersebut setiap kali dalam perjalanan pergi dan pulang dari istana.

Pendeta berasa sangat hairan kerana sejak kebelakangan itu, budak itu sering datang lambat ke istana untuk berguru lalu budak tersebut akan didenda. Apabila pulang ke rumah, ibu budak itu pula akan memarahinya kerana lambat tiba di rumah. Perkara ini menyebabkan budak itu berasa tertekan sedangkan dia sangat suka berguru dengan alim ulama tersebut. Lalu dia mengadu masalahnya kepada alim ulama itu.

Budak
: "Guruku, aku sering dimarahi pendeta diraja kerana lewat ke istana. Manakala ibuku pula sering memukulku kerana lewat tiba di rumah. Sedangkan aku sangat meminati ajaranmu. Jadi bagaimana patut aku lakukan selepas ini?"

Alim ulama
: "Wahai anak muridku yang bijak, selepas ini andai kau dimarahi oleh pendeta itu, kau katakan bahawa keluargamu menahanmu dari datang awal ke istana. Manakala andai kau dimarahi keluargamu, kau katakan bahawa pendeta menahanmu dari pulang. Namun jangan kau ceritakan tentangku kepada mereka kerana aku khuatir akan terjadi perkara yang buruk kepada kita berdua sehinggalah keadaan mendesakmu untuk bercerita perkara yang sebenarnya."

Budak itu gembira dengan cadangan alim ulama tersebut lalu melakukan sebagaimana yang disuruh. Segalanya berjalan dengan lancar sehinggalah pada suatu hari, ketika dalam perjalanan ke istana, budak tersebut terserempak dengan seekor gajah yang sedang mengamuk dan memusnahkan sebuah kampung.

Budak itu berfikir: "Inilah masanya untuk aku menguji apa yang kupelajari hari ini dan menguji kebenaran ajaran di antara pendeta dan alim ulama".

Lalu budak tersebut mengambil sebiji batu dan berkata : "Wahai tuhanku, andai apa yang kupelajari daripada pendeta itu benar, kau matikan gajah ini daripada lontaran batu ini". Namun tiada apa-apa yang berlaku.

Budak tersebut mengambil sebiji batu yang lain lalu berdoa pula : "Wahai tuhanku andai apa yang kupelajari daripada alim ulama ini benar, maka kau matikanlah gajah yang mengamuk ini". Setelah dilemparkan batu tersebut kepada gajah, dengan tidak semena-mena gajah tersebut jatuh menggelepur lalu mati pada saat itu juga. Budak tersebut berasa gembira kerana selama ini dia memang merasakan ajaran alim ulama itu suatu ajaran yang benar.

Apabila tiba di istana, budak tersebut bertemu pendeta seperti biasa. Rupa-rupanya berita budak itu melawan gajah telah diketahui oleh pendeta.

Lalu pendeta bertanyakan kepada budak itu : " Adakah engkau membunuh gajah itu menggunakan ilmu yang kuajarkan kepadamu?"

Budak : "Tidak sama sekali. Yang membunuh gajah itu adalah tuhanku. Aku tidak berkuasa sama sekali ke atas apa yang berlaku."

Pendeta: "Adakah tuhan yang kau maksudkan itu raja kita?" (pada masa itu, raja dianggap tuhan dan disembah)

Budak : "Tidak. Tuhanku dan tuhan mu adalah sama iaitu Allah. Dialah tuhan sekalian alam."

Jawapan budak itu menjadikan si pendeta tersentak. Berkali-kali dia mengajukan soalan yang sama namun jawapan yang sama juga diberikan oleh budak itu. Akhirnya dia memutuskan untuk menyampaikan berita tersebut kepada raja.

Raja mengarahkan pengawal istana untuk menangkap dan mendera budak tersebut sehinggalah dia memberitahu guru yang mengajarkan ilmu yang lain daripada yang diajarkan oleh pendeta istana itu. Setelah penat disiksa, budak itu akhirnya menceritakan tentang gurunya di alim ulama.

Raja mengarahkan alim ulama itu ditangkap. Alim ulama dan budak itu dibawa ke sebuah padang untuk dihukum.

Raja : "Mengakulah bahawa aku ialah tuhanmu."

Alim ulama: " Tuhanku dan tuhanmu adalah satu iaitu Allah yang Esa."

Berkali-kali soalan yang sama ditanya namun jawapan yang sama diberikan. Lalu raja memenggal leher alim ulama tersebut. Matilah alim ulama itu sebagai seorang syahid.

Seterusnya tiba giliran budak cerdik itu. Ditanya soalan yang sama namun jawapannya sama seperti alim ulama itu. Lalu raja mengarahkan kepada pengawalnya untuk membawa budak itu ke sebuah gunung lalu menolaknya dari gunung itu andai jawapan yang diberikan olehnya masih sama.

Tiba di atas gunung itu, budak itu berdoa kepada Allah. Maka ketika itu gunung bergoyang lalu semua pengawal itu jatuh dan mati. Hanya budak itu terselamat.

Budak cerdik itu kembali ke istana. Raja sungguh marah lalu mengarahkan pula dia dibawa ke tengah laut dan dilemparkan ke dalam laut andai masih berdegil dengan jawapannya.

Tiba di tengah laut, budak itu berdoa kepada Allah. Tiba-tiba datang ombak yang besar lalu menenggelamkan kapal yang membawa budak itu. Semua penumpangnya mati kecuali budak itu.

Budak cerdik itu kembali ke istana. Dia bertemu dengan raja. Raja terkejut melihat budak itu masih hidup.

Budak: "Tuanku tidak boleh membunuh saya sehinggalah tuanku melakukan perkara yang berikut."

Raja
: "Baiklah. Ceritakan kepada beta."

Budak : "Tuanku perlu mengumpulkan seluruh rakyat jelata negeri ini di suatu padang yang luas supaya mereka semua dapat menyaksikan hukuman mati yang dikenakan ke atasku. Kemudian, tuanku letakkan busur panah tuanku tepat di dadaku dan katakan : "Dengan nama Allah, tuhan budak ini.". Maka selepas itu barulah aku akan mati."

Raja bersetuju dengan cadangan budak itu kerana merasakan dia akan mendapat keuntungan dan seluruh rakyat akan lebih takut kepadanya. Maka dia mengarahkan pengawal istana mengumpulkan seluruh rakyat tanpa mengira usia di suatu kawasan yang luas.

Tiba hari yang dijanjikan, raja bersedia melakukan hukuman tersebut. Dia meletakkan busur panahnya tepat di dada budak itu sambil melaungkan : "Dengan nama Allah tuhan budak ini." Budak itu syahid pada saat itu juga.

Tanpa disangka-sangka oleh raja, seluruh rakyat bangun lalu melaungkan : Kami beriman dengan Allah tuhan budak itu!!Kami beriman dengan Allah tuhan budak itu!!"

Pengawal tergesa-gesa mencari raja lalu memaklumkan bahawa semua rakyat memberontak dan telah beriman dengan tuhan budak yang dibunuh tadi. Perkara yang paling ditakuti oleh raja telah berlaku. Lalu raja mengarahkan pengawalnya mengorek sebuah lubang bear lalu dipasangkan api didalamnya. Setiap rakyat yang tidak mahu mengakui dia sebagai tuhan akan ditolak dan dibakar hidup-hidup di dalam api itu.

Seorang demi seorang rakyat telah ditolak ke dalam api lalu dibakar hidup-hidup kerana tidak mahu menukar keimanan mereka. Tibalah giliran seorang ibu dengan anak yang masih kecil di dalam pelukannya.

Ibu tersebut teragak-agak di depan api tersebut apatah lagi memandangkan anaknya yang masih kecil. Tiba-tiba anak kecil itu bersuara:"Jangan takut wahai ibuku. Sesungguhnya kita berada di pihak yang benar."

Maka seluruh rakyat dibakar hidup-hidup. Mereka merasai sakit yang hanya sekejap sedangkan syurga yang indah menanti mereka selaku syahid di jalan Allah.

Tidak lama selepas itu, raja dan para pengikutnya dilanda bencana dan mereka semua mati dalam keadaan yang lebih mengaibkan dan bakal diazab pula oleh Allah dengan azab yang dahsyat. Subhanallah..


----------------------------------------------------
Semoga ia manfaat kepada semua. Semoga ia mendidik jiwa.


kredit:http://teacherbasariah.blogspot.com/2011/10/siri-teladan-3-kisah-budak-genius.html
SHARE 3 comments

Add your comment

  1. ehh azza pun baru baca puas ingat kat mana.. rupenya betul lah kat blog teacher basriah tu. Family awak ke naim?

    BalasPadam

sila tinggal kata-kata anda:

© Ke Arah mencari redhaNYA · THEME BY WATDESIGNEXPRESS