Dunia Di Ancam Kuasa Raja Rimba

in , , by Muhammad Naim Abdullah, Julai 18, 2019


Firman Allah:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ هَلْ تَنقِمُونَ مِنَّا إِلَّا أَنْ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلُ وَأَنَّ أَكْثَرَكُمْ فَاسِقُونَ (59) قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ اللَّهِ مَن لَّعَنَهُ اللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ وَجَعَلَ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ الطَّاغُوتَ أُولَٰئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ عَن سَوَاءِ السَّبِيلِ (60)

“Katakanlah (wahai Muhammad S.A.W.): "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu, dan kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang- orang yang fasiq". (59); Katakanlah: "Mahukah aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah taghut (pelampau batas). Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul”. (60) (Surah Al-Maa’idah: 59-60)

Al-Quran adalah mukjizat ilmu petunjuk sepanjang zaman, kisah dan ceritanya juga terus menjadi peristiwa yang berulang sehingga Hari Kiamat. Begitulah berulangnya permusuhan terhadap Islam dan para Rasul oleh sebahagian daripada pelampau ahli Kitab, kaum Yahudi Zionis dan pengikutnya daripada pelbagai agama dan ideologi bagi membuktikan kebenaran Al-Quran bermukjizat itu.

Kalau para Rasul A.S. pilihan Allah dimusuhi dan dizalimi oleh pengikut mereka secara melampau sampai ada yang dibunuh, sehingga layak mendapat laknat Allah sepanjang zaman, maka suluh dan pandang setiap perkembangan yang berlaku di dunia hari ini dengan berpandukan Al-Quran.

Kalangan Yahudi Zionis dan Kristian bermusuh dengan setiap kumpulan berjenama Islam tanpa mengira mazhab dan ideologi kiri atau kanan yang dianut oleh sesiapa sahaja yang masih memakai jenama Islam, walaupun umat Islam itu berbalah dan berperang sesama sendiri dalam perkara tersebut.

Kini, seluruh dunia dalam keadaan berdebar menghadapi ancaman perang terbesar yang boleh tercetus dan memusnahkan dunia dengan ketegangan di antara Amerika dan Iran yang sedang cabar mencabar di antara satu sama lain.

Amerika menambahkan kekuatan bala tenteranya di Teluk Parsi (nama lama), kini ditukar pula kepada Teluk Arab oleh kaum Arab yang nasionalis dan disebut teluk sahaja bagi sesiapa yang tidak mahu berpihak.

Alasan Amerika kerana Republik Islam Iran kini menjadi ancaman kepada keamanan dunia kerana memajukan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan, walaupun menegaskan bahawa Islam yang menjadi pegangannya mengharamkan penggunaan senjata pemusnah yang berkuasa nuklear.

Berbeza dengan zaman Shah dahulu yang seratus peratus mengikut budaya Barat tanpa halal dan haram, serta hubungan sangat rapat dengan negara Israel. Pada waktu itu, Iran menjadi rakan akrab dan pangkalan hadapan kepada Barat, sehingga boleh dilonggok segala senjata.

Amerika sendiri adalah pemilik senjata pemusnah terbesar di dunia, dan mempunyai senjata paling besar dan banyak, serta bala tentera paling ramai dan pangkalan tentera di seluruh penjuru dunia, sama ada di atas bumi yang tetap atau kapal-kapal besar yang bergerak.

Amerika juga mendakwa merekalah paling demokrasi, adil, membela hak asasi manusia dan menjaga keamanan dunia, sehingga boleh dinamakan seperti polis untuk seluruh dunia.

Iran setelah menang Revolusi Islam membatalkan pengiktirafan terhadap negara haram Israel yang dijadikan negara sahabat pada zaman Shah dahulu. Pada masa yang sama, Iran mengajak negara Arab dan Islam supaya melawan Israel dan menentang negara yang dinamakan mustakbirin (angkuh) di dunia khususnya Amerika.

Iran juga membantu rakyat Palestin walaupun bermazhab Sunni dan ramai bermazhab Syafie yang dihalau daripada tanah air mereka. Namun usahanya tidak mendapat sambutan bersemangat daripada negara Arab dan Islam, mungkin kerana Syiah atau perlu mendapat kebenaran daripada polis dunia.

Israel tetap dibantu oleh negara besar yang menubuhkannya dahulu, khususnya Amerika dan negara-negara sahabat di Eropah. Dilaporkan sejak tahun 60-an lagi, Israel mempunyai jana kuasa nuklear di Dair As-Sabua’ dengan bantuan negara barat Amerika dan Eropah, sehingga berkemampuan mengadakan senjata nuklear pemusnah dan dibekalkan dengan senjata menyerang, bukan sahaja mempertahankan diri. Lebih nyata sudah adanya pendedahan oleh media bahawa senjata nuklear itu telah digunakan secara kecilan dalam serangannya ke Selatan Lubnan dan Gaza, namun tiada siasatan dan beritanya dipadamkan, tetapi tetap diingati oleh orang yang tidak lupa.

Rakyat Palestin terus dibelasah oleh Israel sejak tahun 1948 sehingga kini dengan segala senjata ringan dan berat, darat, laut dan udara. Alasannya kerana dikuasai oleh Hamas, satu kumpulan Islam yang dikatakan sayap kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) yang diharamkan di negara Arab sejak setengah abad yang lalu, kerana pernah berjihad di Palestin melawan Israel sejak tahun 1948. Namun rakyat Palestin tidak mampu dikalahkan walaupun dikepung di Gaza yang dikatakan ada sedikit kemerdekaan bagi Palestin.

Dahulunya rakyat Palestin bersenjatakan batu sahaja, kini lebih maju apabila menggunakan layang-layang api. Apa yang mengejutkan sekarang apabila mampu melancarkan roket ke bandar-bandar Israel yang tidak mampu dihalang oleh sistem pertahanan yang dinamakan Kubah Besi dengan senjata paling canggih.

Palestin dibantu oleh Iran yang kini sudah mencapai kemajuan teknologi tinggi paling canggih dan mampu bersaing dengan kuasa besar yang telah wujud. Kemajuannya lebih terserlah apabila berjaya menjatuhkan pesawat pengintip paling canggih kepunyaan Amerika yang dikatakan paling mahal harganya.

Presiden Donald Trump telah membuat keputusan untuk menyerang balas dengan mendapat nasihat di sekelilingnya yang paling rapat dengan Israel, namun menarik balik arahan serangan yang dirancang itu sepuluh minit sebelum dilaksanakan dengan dinasihati oleh pihak lain, kerana padahnya lebih parah daripada perang Afghanistan dan Iraq. Akhirnya ditukar kepada serangan diplomatik dan media menggunakan senjata perjanjian sekatan sains nuklear terhadap Iran yang sudah dipersetujui oleh Eropah.

Seterusnya Amerika menggunakan senjata sekatan ekonomi, khususnya diusahakan eksport minyak Iran untuk diharamkan. Namun banyak negara menganggapnya tidak boleh diterima akal. Maka Amerika dan sekutunya yang akrab bertindak melakukan tekanan terhadap negara yang tidak patuh.

Terkini British menahan kapal gergasi minyak Iran, diberitakan juga Saudi dan Mesir menjadi makmum mengikut langkah sama menahan kapal minyak Iran, sehingga menjadikannya bertambah tegang, laksana minyak yang menunggu api dinyalakan.

Apakah alasan ini benar-benar kerana ancaman keamanan dunia, atau kerana keamanan Israel dan lembu-lembu perahan Amerika yang diternak di negara-negara Arab itu, atau lebih tegasnya bermusuh terhadap Islam dan umatnya?

Sila pertimbangkan dengan hujah, adakah wajar Amerika yang datang dari jauh dengan senjata paling banyak termasuk senjata pemusnah adalah penyelamat keamanan dunia?

Semua yang menjadi ancaman kepada Israel itu dianggap sebagai ancaman kepada keamanan dunia, hujahnya kerana Iran dan Hizbullah adalah Syiah, tetapi masih bernama Islam walaupun berjaya menghidupkan sistem pilihan raya yang tidak ada dalam mazhab Syiah.

Hamas pula walaupun berkuasa di Gaza dengan memenangi pilihan raya, tetapi dianggap sebagai ancaman kepada Israel kerana menjadi cabang kepada Ikhwanul Muslimin yang difatwakan oleh beberapa para ulama adalah Khawarij, sehingga Presiden Mursi yang dipilih secara demokrasi yang julung kali diadakan di Mesir itu tidak diiktiraf dan dizalimi dalam tahanan sehingga syahid.

Turki pula berpihak kepada Palestin kerana sejarah kerajaan Uthmaniyah yang dahulunya dianggap penjajah, sehingga dijatuhkan dengan bantuan negara Barat dan memberi hadiah kepada mereka yang membantunya dengan mewujudkan negara kecil yang dibahagikan sehingga sentiasa merayakan hari kebangsaan bersempena kejayaan menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Adapun Turki Mazhab Sekular Kamal Ataturk yang meninggalkan wajah Islam dan mengiktiraf serta bersahabat akrab dengan Israel itu dianggap dahulunya paling baik. Berbeza dengan kerajaan AKP hari ini, walaupun dipilih secara demokrasi mesti ditolak kerana menunjukkan tanda permusuhan terhadap Israel dan berpihak kepada rakyat Palestin.

Barangkali gelaran Ahli Sunnah yang sebenar mengikut fatwa Barat ialah kumpulan yang menjadi proksi perang saudara yang dibantu oleh Amerika dan sekutunya di negara masing-masing yang boleh membunuh siapa sahaja, bukan sahaja polis dan tentera yang menjaga keamanan di tempat masing-masing, bahkan kanak-kanak, orang tua dan orang awam yang lemah, dan boleh meletup di mana sahaja, bukan sahaja hotel dan pasar, termasuk juga masjid.

Semua negara yang menyatakan sumbangannya kepada Palestin telah dihuru-harakan dengan pelbagai alasan dengan menggunakan mazhab Ahlus Sunnah tersebut.

Semua negara yang menyokong Israel adalah penyelamat keamanan dunia, khususnya Amerika yang memilih Presiden paling istimewa baginya dan dipilih oleh demokrasi paling moden. Sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengannya boleh meletak jawatan atau dipecat seorang demi seorang.

Ada pula daripada kalangan negara umat Islam yang berpemimpinkan Amerika dan ada ulama berfatwa untuknya, sehingga menghukum dan bertindak terhadap Islam dan pendukungnya dengan undang-undang rimba.

Inilah kedudukan dunia yang kita berpijak sekarang. Adakah jarum berpusing maju ke hadapan sehingga tersungkur, atau sedang berpusing ke belakang menghancurkan tamadunnya sehingga berkubur untuk kembali semula ke zaman jahiliah di rimba?

Nampaknya mereka yang bertuhankan harta lebih daripada Allah, ialah paling tamak haloba dan bakhil serta menggunakan politik bagi tujuan ekonomi. Barangkali akal dan otak mereka berada di dalam perut bukannya di kepala, sehingga rakus berperang untuk menguasai dunia, laksana makhluk rimba. Namun Allah telah menetapkan hukuman terhadap mereka dengan firman-Nya:

كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِّلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ (64)

“Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan”. (Surah Al-Maa’idah: 64)

"Islam Memimpin Perubahan"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Zulkaedah 1440 / 17 Julai 2019
SHARE 1 comment

Add your comment

sila tinggal kata-kata anda:

© Ke Arah mencari redhaNYA · THEME BY WATDESIGNEXPRESS